RAYA KITA-KITA 2023
KKKP TERIMA KUNJUNGAN PENANDA ARAS KOLEJ KEDIAMAN UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU (UMT)
Ditulis oleh Mohd Nazrin bin Musling
Pada 11 Mei 2023 (Khamis), pihak Kolej Kediaman Kampus Pagoh UTHM (KKKP) menerima lawatan rasmi pengurusan Kolej Kediaman Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang diketuai oleh YBrs. Dr. Zairihan binti Abdul Halim, Timbalan Pengarah Dalam Kampus, Pn. Engku Aima binti Tengku Amri, Penolong Pendaftar serta barisan staf pengurusan kolej UMT yang lain. Lawatan ini juga telah disambut baik oleh pihak pengurusan KKKP yang terdiri daripada YBrs. Ts. Hj. Suhairi bin Ismail, selaku Pengetua KKKP, Dr. Mohd Faisal bin Hushim, Timbalan Pengetua 1, Ts. Dr. Norrizam bin Mohmad Jaat, Timbalan Pengetua 2 dan barisan staf KKKP.
Hasrat utama kunjungan lawatan ini adalah sebagai salah satu inisiatif pengurusan Kolej Kediaman UMT untuk berkongsi pengalaman dan meninjau sendiri tentang pengurusan Kolej Kediaman Kampus Pagoh (KKKP) UTHM. Pelbagai perkongsian yang dibincangkan bersama sepanjang sesi diskusi berlangsung, diantaranya berkaitan sistem urus tadbir penginapan pelajar, urus tadbir pentadbiran serta pengelolaan kemudahan infrastruktur yang disediakan kepada warga kolej kediaman. Selain itu, lawatan ini juga menjadi satu tunjang kepada kedua-dua belah pihak pengurusan dalam memastikan urus tadbir kolej kediaman universiti awam ke arah lebih kondusif dan sistematik.
Semoga dengan lawatan penanda aras ini ianya dapat mengeratkan lagi jalinan kerjasama antara pengurusan kolej kediaman universiti awam, sekaligus menambah baik mutu perkhidmatan kolej kediaman universiti secara berterusan.
INTERNATIONAL IFTAR DAY RAIKAN PELAJAR ANTARABANGSA & BUKAN ISLAM BERBUKA PUASA
Ditulis oleh Dr. MOHD FAISAL HUSHIM, Ts. Suhairi Bin Ismail, Ts. Dr. Md Norrizam Bin Mohmad Ja’at @ Mohd Noh
Pada 07 April 2023 lalu, satu program berbuka puasa telah dijalankan oleh pihak Kolej Kediaman Kampus Pagoh. Program yang diberi nama International Iftar Day ini merupakan program anjuran Majlis Kepimpinan Pelajar (MKP KKKP) dengan kerjasama Rakan Musolla, Engineering Technology Club (ETeC), Science Technology Club (STC), Persatuan Pelajar Diploma, dan Professional Mutawwif Development International.
Hampir 1000 orang tetamu yang terdiri dari kalangan penghuni KKKP telah hadir untuk memeriahkan suasana. Antara tetamu yang hadir juga terdiri dari kalangan pelajar antarabangsa yang sedang mengikuti pengajian peringkat sarjana muda mahupun pasca siswazah yang hadir dari kampus induk Parit Raja. Turut diraikan juga adalah pelajar-pelajar yang bukan beragama Islam.
Antara tetamu jemputan khas yang hadir adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, YBrs. Prof Sr Ts Dr Hj Lokman Hakim bin Ismail. Turut hadir adalah Pengarah Pusat Perumahan Pelajar, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Halim Irwan bin Ibrahim serta Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar, Sdr. Wan Amsyar Hadie bin Wan Mahadi.
Sebelum majlis berbuka puasa berlangsung, satu majlis khatam al-Quran telah dijalankan dan ceramah Nuzul al-Quran telah disampaikan sebagai salah satu pengisian program. Ceramah Nuzul al-Quran telah disampaikan oleh Dr. Mohd Shafiq bin Sahimi yang merupakan pensyarah Jabatan Pengajian Islam (Kampus Pagoh).Program berbuka puasa kali ini merupakan program julung kali diadakan secara besar-besaran di kolej kediaman setelah hampir dua tahun tidak dijalankan atas faktor penularan COVID-19. Pada kali ini, program ini menampilkan pembawakan yang berbeza yang mana kesemua tetamu dijamu dengan hidangan dalam dulang.
“Antara tujuan utama untuk makan di dalam dulang adalah untuk membina dan merapatkan ukhuwah antara para tetamu yang hadir,” kata Pengetua KKKP, Ts. Suhairi Ismail.Tetamu jemputan khas juga tidak terkecuali untuk turut sama berbuka puasa secara bersila di atas lantai menghadap juadah yang disediakan bersama tetamu yang lain.
Beberapa komen positif telah diterima dari kalangan pelajar, yang mana mereka merasakan diri mereka lebih dekat dan tidak terpinggir dengan para pimpinan tertinggi universiti. Disamping itu, program ini telah memberikan satu pengalaman baharu untuk para pelajar antarabangsa dan yang bukan beragama Islam yang mana mereka dapat merasai dengan lebih dekat suasana dan budaya masyarakat Islam di dalam menyambut bulan Ramadan dan berbuka puasa.
PELAJAR UTHM IMAM TERAWIH MASJID JAMEK PANCHOR
Ditulis oleh Dr. MOHD FAISAL HUSHIM, Ts. Suhairi Bin Ismail, Ts. Dr. Md Norrizam Bin Mohmad Ja’at @ Mohd Noh
Solat terawih merupakan solat sunat yang hanya dilakukan di bulan Ramadan. Solat ini boleh dilakukan secara perseorangan mahupun berjemaah.Selain musolla Kolej Kediaman Kampus Pagoh (KKKP), para pelajar turut menunaikan solat terawih di surau-surau dan masjid-masjid berdekatan. Antaranya adalah Masjid Jamek Panchor, Masjid Muhammad Yasin dan Masjid Pekan Pagoh.Solat terawih pada bulan Ramadan tahun ini menyaksikan sedikit pembaharuan bagi Masjid Jamek Panchor yang mana imam terawihnya merupakan pelajar UTHM. Seramai lima orang pelajar UTHM telah dilantik oleh pihak masjid untuk menjadi imam dan bilal bagi solat terawih kali ini.
Menurut Timbalan Pengetua 2, KKKP, Ts. Dr. Md Norrizam pihak masjid telah menghubungi pihak KKKP untuk menyatakan hasrat melantik pelajar UTHM menjadi imam terawih.“Hasrat pihak masjid ini kami sambut dengan baik, yang mana ianya boleh dikatakan sebagai salah satu khidmat masyarakat kami kepada pihak setempat,” katanya yang juga merupakan individu yang bertanggungjawab dalam pemilihan masjid angkat bagi KKKP. Kelima-lima pelajar tersebut adalah Mohamad Nur Amierul Afzan bin Maizan, Muhammad Ikhwan Arif bin Zamri, Muhammad Alif Bin Mohd Amin, Muhamad Faiq Izuddin Bin Samsuddin, Muhammad Amir Redzuan bin Mohamad Shukri. Mereka yang dilantik ini telah pun disaring terlebih dahulu bagi memastikan mereka dapat menjalankan amanah selaku imam dan bilal terawih dengan baik. “Diharap perkara ini merupakan permulaan bagi lebih banyak lagi kerjasama-kerjasama antara pihak KKKP dan masjid di masa hadapan,” tambah Dr. Norrizam.
PROGRAM AGIHAN BUBUR LAMBUK
Oleh En. MOHD NAZRIN MUSLING, Ts. SUHAIRI ISMAIL, Pn. NURUL AISYAH OTHMAN
15 April 2023 bersamaan 24 Ramadan 1444h,
Kolej Kediaman Kampus Pagoh UTHM menyambut kemeriahan Bulan Ramadan 1444h pada kali ini dengan penganjuran Program Agihan Bubur Lambuk dengan kerjasama pihak kariah Masjid Pekan Panchor, Pagoh. Seramai 40 orang ahli yang terdiri daripada 30 orang mahasiswa/i serta 10 orang komuniti setempat telah terlibat secara langsung menjayakan program ini.
Program ini dilengkapi dengan pelbagai aktiviti seperti gotong-royong persiapan dan penyediaan masakan bubur lambuk, termasuklah membersihkan kawasan sekitar dalaman serta luar masjid. Selain itu, program ini juga menerima sumbangan bahan masakan daripada tiga (3) pihak iaitu dari kariah Masjid Pekan Panchor, barisan Felo Kolej Kediaman Kampus Pagoh dan seorang individu.
Dengan kerjasama yang gitu diantara mahasiswa/i, komuniti setempat serta pihak penyumbang, program ini berjaya direalisasikan dengan penyempurnaan agihan masakan bubur lambuk sebanya tiga (3) periuk kenduri yang dapat dikongsikan agihannya kepada 990 orang pada hari tersebut. Pihak pengurusan Kolej Kediaman Kampus Pagoh UTHM amat menghargai giat usaha pelbagai pihak dalam menjayakan program ini dan berharap program sebegini terus relevan dianjurkan pada tahun hadapan demi manfaat bersama.
PROGRAM DERMA DARAH - RAMADAN 2023
Oleh Dr. MOHD FAISAL HUSHIM, Ts. SUHAIRI ISMAIL
PAGOH — Kolej Kediaman Kampus Pagoh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (KKKP-UTHM) dan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar mengadakan program kerjasama bagi memastikan stok bekalan darah mencukupi sepanjang bulan Ramadan.
Inisiatif ini dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat mengenai jumlah penderma darah akan mengalami penurunan yang agak ketara pada bulan Ramadan. Walaupun menderma darah ketika berpuasa itu dibolehkan dari segi syarak, namun masih terdapat individu yang mengelak untuk berbuat demikian kerana khuatir ia boleh menjejaskan aktiviti harian. Pun begitu, stok bekalan darah juga perlu berada di paras optimum bagi memastikan ia sentiasa mencukupi apabila diperlukan terutamanya ketika berlaku keadaan luar jangka,
Sehubungan itu menerusi program yang dijalankan pada awal bulan itu berjaya mendapat perhatian dan sokongan yang menggalakkan daripada penghuni KKKP-UTHM. Kira-kira 300 pelajar hadir lebih awal selepas berbuka bagi memastikan masing-masing dapat menderma darah. Bagaimanapun, hanya sebahagian yang dapat menderma kerana sasaran yang ditetapkan oleh pihak hospital telah tercapai dan kita berjaya mengumpul hampir 70 beg darah berbanding sasaran awal iaitu sekitar 50 beg darah. Susulan kejayaan yang memberangsangkan ini mendorong warga KKKP-UTHM meletakkan sasaran untuk melaksanakan program sedemikian sebanyak dua kali pada bulan Ramadan ini.
Ini bagi menunjukkan komitmen dan keprihatinan warga KKKP dan UTHM dalam memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi. Program ini juga diharapkan dapat memupuk nilai positif dan sifat kesukarelawanan yang tinggi dalam kalangan mahasiswa UTHM
SUMBANGAN 110 NASKAH AL-QURAN KEPADA SK PESERAI, BATU PAHAT
Oleh Dr. Mohd Faisal Hushim, Ts. Suhairi Ismail, Ts. Dr. Md Norrizam Mohmad Ja’at @ Mohd Noh
BATU PAHAT – Bersempena dengan bulan Ramadan yang diturunkan kitab suci di dalamnya, Kolej Kediaman Kampus Pagoh (KKKP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menyumbang 110 naskah al-Quran kepada warga Sekolah Kebangsaan Peserai (SKP), Batu Pahat untuk dimanfaatkan. Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Pengetua KKKP, Ts. Suhairi Ismail kepada Guru Penolong Kanan 1, Mohd Norfahiz Mohd Pathan selaku selalu wakil SKP.
Kitab al-Quran yang diterima bakal diagihkan kepada 105 murid tahun enam dan lima murid Berkeperluan Pendidikan Khas. Turut serta dalam penyerahan tersebut, Timbalan Pengetua 1, KKP, Dr. Mohd Faisal Hushim dan Timbalan Pengetua 2, Ts. Dr. Md Norrizam Mohmad Ja’at @ Mohd Noh.
Menurut Suhairi, sumbangan al-Quran itu disampaikan beberapa hari sebelum hari Nuzul al-Quran bagi membolehkan pihak sekolah mengagihkannya kepada murid-murid untuk digunakan bermula pada hari sambutan peristiwa tersebut. “Sumbangan al-Quran ini merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab khidmat sosial KKKP kepada masyarakat luar,” jelas beliau.
Al-Quran itu juga akan digunakan dalam Program Khatam Quran yang dijalankan sepanjang tahun sesi 2023/2024. “Diharap sumbangan al-Quran ini akan menyemarakkan lagi semangat cintakan ilmu dan pengamalan agama dalam kalangan murid sekolah,” kata Suhairi.
PENDAKI KKKP TAWAN GUNUNG ANGSI SEMPENA MERAIKAN UTHM 30 TAHUN
Oleh Dr. MOHD FAISAL HUSHIM, Ts. SUHAIRI ISMAIL, En. MOHD NAZRIN MUSLING
16 September 2023 merupakan tarikh keramat bagi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang mana genaplah 30 tahun penubuhan UTHM selaku salah sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam di Malaysia. Ditubuhkan pada 16 September 1993 sebagai Pusat Latihan Staf Politeknik (PLSP) kemudian melalui beberapa fasa naiktaraf sehinggalah pada tahun 2007 diumumkan sebagai Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Untuk meraikan UTHM 30 tahun ini, beberapa aktiviti dan program telah dirangka dan dijalankan oleh pelbagai pusat tanggungjawab UTHM. Salah satu aktiviti yang telah dijalankan adalah Program Eksplorasi Gunung Angsi, Sempena UTHHM 30 Tahun. Program ini telah mengumpulkan lebih 30 pendaki yang terdiri daripada pelbagai pusat tanggungjawab UTHM. Kolej Kediaman Kampus Pagoh (KKKP) turut menjayakan program ini yang mana turut disertai oleh tiga pendaki KKKP.
Tiga pendaki KKKP yang mewakili bahagian unit masing-masing iaitu Dr. Mohd Faisal Hushim mewakili bahagian Pengetua dan Timbalan Pengetua KKKP, Ir. Ts. Shaiful Fadzil Zainal Abidin mewakili Felo KKKP, dan En. Mohd Nazrin Musling mewakili Pentadbiran KKKP. Program ini telah dijalankan pada 11 Mac 2023 yang lalu. Pendakian bermula pada jam tiga pagi yang melalui laluan Bukit Putus. Pendakian mengambil masa selama tiga jam untuk sampai ke puncak. Beberapa aktiviti telah dijalankan di puncak Gunung Angsi antaranya plogging (mengutip sampah dan membersihkan kawasan sekitar), sesi sembang santai dan beramah mesra sesama pendaki dan sesi bergambar kenangan. Perjalanan turun bermula jam lapan pagi melalui laluan ke Ulu Bendul yang mana i amengambil masa leboh kurang 4 jam.
LAWATAN MUHIBAH DAN JALINAN KERJASAMA ANTARA KKKP DAN KOLEJ KOMUNITI PAGOH
Oleh Dr. MOHD FAISAL HUSHIM, Ts. SUHAIRI ISMAIL, En. MOHD NAZRIN MUSLING
Satu sesi lawatan muhibah telah dilaksanakan antara Kolej Kediaman Kampus Pagoh (KKKP) dengan pihak Kolej Komuniti Pagoh. Antara tujuan lawatan ini adalah bagi membina jalinan kerjasama antara ke dua belah pihak. Sesi lawatan dan perbincangan ini telah dihadiri oleh Dr. Mohd Faisal Hushim selaku Timbalan Pengetua 1 bersama dengan En. Mohd Nazrin Musling yang merupakan Penolong Pengurus Asrama KKKP. Pihak Kolej Komuniti Pagoh telah diwakili oleh dua orang staf iaitu Pengarah Kolej Komuniti Pagoh, En. Mohd Hafiz Hamdan bersama dengan Pegawai Unit Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH), Ts. Nursalizah Muslim.
Semasa sesi lawatan ini dijalankan, beberapa perkongsian maklumat antara kedua belah pihak telah dilaksanakan. Beberapa cadangan pelaksanaan kursus-kursus kemahiran tambahan yang boleh ditawarkan telah dibentangkan oleh pihak Kolej Komuniti Pagoh. Cadangan kursus-kursus ini dilihat sangat berguna untuk membantu para penghuni KKKP khususnya serta masyarakat setempat mendapat kemahiran tambahan.
Diakhir lawatan ini, wakil KKKP telah dibawa melawat ke sekitar kawasan Kolej Komuniti Pagoh bagi melihat sendiri kemudahan-kemudahan yang boleh digunakan semasa pelaksanaan kursus tambahan atau pun boleh digunakan sebagai sewaan luar. Antara tempat dilawati adalah makmal komputer, dewan aktiviti, ruang memasak, dan ruang menjahit yang mana kesemuanya boleh memuatkan hampir 20 orang satu masa. Semoga dengan berlangsungnya lawatan muhibah ini dapat menjalinkan kerjasama strategik antara pihak KKKP dan Kolej Komuniti Pagoh di dalam membantu para penghuni KKKP dan masyarakat untuk terus cemerlang dan memperoleh nilai tambah di dalam kemahiran tertentu.
PROGRAM KEPIMPINAN HARAPAN 2023